Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd
Hati Yang Kau Pinjamkan - Rehan Makhtar
Hati Yang Kau Pinjamkan - Rehan Makhtar
Couldn't load pickup availability
“Tolong Khalifh,” rayunya.
Hah? Dia minta tolong siapa untuk tolong siapa? Aku salah dengar ke? Mata aku jatuh ke bibirnya yang basah. Mencari kepastian.
“Tolong dia. Dialah satu-satunya anak yang aunty ada. Tolong dia...” Wanita ini merayu dan terus merayu.
Dia terus jatuh melorot di kaki aku. Kembali menangis dan kali ini, tangisan itu kedengaran cukup hiba pada telinga aku apabila melihat keadaan anak yang dimaksudkan. Namun, ketika ini… Aku tidak mampu membawa tangan aku mengangkat tubuhnya yang masih memeluk kaki aku.
Jujurnya, aku sedang keliru. Bingung dengan apa yang telah terjadi tiba-tiba ini. Bila aku fikir semula, aku datang ke hospital hanya untuk terima rawatan kerana kesan lecur dan setelah itu aku diminta untuk mengambil ubat. Sedang aku menanti giliran aku tiba, aku menelefon ma dan mendengar bebelannya. Pada ketika itu, aku masih mampu senyum mendengar bebelan ma. Tapi kini… Aku tunduk ke bawah. Memandang wanita yang mula rebah dalam pelukan suaminya.
Dari pandangan mata si suami, aku tahu dia sedang meminta maaf daripada aku kerana sikap isterinya yang kini aku tahu dengan jelas sebab dia merayu dan menangis demikian rupa. Kala ini, tak dapat aku bayangkan jika yang terbaring lesu di atas katil itu adalah aku. Adakah ma akan sama seperti wanita ini? Merayu demi anak tunggal yang amat disayangi?
Maka, benarlah bagai dicanang. Kasih ibu membawa ke syurga. Wanita ini tunduk dan melutut tanpa menghiraukan air muka sendiri. Yang dia mahu adalah nyawa anaknya sahaja. Kerana aku adalah anak ma yang tegas pada saat menjalankan tugas tapi lembut sebagai seorang ibu dan wanita, aku mewarisi sikap yang sama. Aku tersentuh melihat keadaan keluarga ini. Yang menjadi persoalannya, apa yang perlu aku lakukan untuk membuatkan anaknya pulih memandangkan aku bukan jururawat jauh sekali doktor? Aku ke sini kerana aku juga mencari pertolongan daripada doktor.
Perlahan-lahan, aku turunkan tubuh. Mengoyak senyum tipis padanya. Cuba menyelami derita hati seorang ibu yang mustahil untuk aku mengerti kerana seperti pepatah mengatakan, mata yang memandang tidak akan sama seperti bahu yang menggalas.
Aku memandang.
Ayah ini menggalas.
“Kita tak duduk tempat puan dan kita tak dapat bayangkan betapa sedihnya puan dengan keadaan sekarang. Tapi, melihatkan pada puan… kita faham betapa sayangnya puan pada anak puan. Cumanya…” Aku hentikan bicara seketika bila dia memandang tunak ke mata aku.
“Puan dah salah orang. Kita pesakit luar aje. Kita bukan nurse, juga bukan doktor. Kita tak tahu macam mana nak tolong puan.” Tidak dapat tidak, aku luahkan juga apa yang bermain di dalam kepala aku sejak tadi.
Sebaik sahaja aku tamatkan ayat, tangisannya kembali kasar. Susah juga nak ajak berbicara dengan seseorang yang minda serta hati yang sedang kelabu dengan rasa risau. Aku tak lagi mendesak. Tak sampai hati. Dia tidak mengalah. Dalam tangis yang kembali bergema, dia bangkit dan menarik aku bangun sama.
“Tengok Khalifh dulu...”
Memang aku sedang tengok. Pucat kekuningan. Nampak sakit amat. Kurus. Cengkung.
“Lepas tu, tolonglah fikir semula untuk tolong dia…”
“Sudahlah tu. Kasihan dekat cik ni. Dia tak kenal kita pun.” Suaminya memujuk. Melarang dia terus menyeksa aku. Tapi, dia sepertinya tidak lagi mendengar.
Aku hampir mengeluh. Aku memang nak tolong. Tapi aku bukan doktor. Macam mana aku nak tolong? Sekadar tolong mendoakan, dapatlah aku tunaikan. Mustahillah dia nak aku tolong belah dada anak dia pula.
“Puan, kita…” Baru aku nak bersuara, suami dia dan seorang jururawat tiba. Berkerut dahi jururawat yang aku kenal tu pandang aku.
“Kau buat apa kat sini, Tuah?”
Share
